Sunday 9 August 2015

Ringgit dijangka rendah berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus rendah berbanding dolar AS minggu depan, berikutan harga komoditi merosot dan perkembangan politik tempatan yang akan mempengaruhi keyakinan pelabur, kata peniaga. Beliau berkata perbincangan yang konsisten mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat bulan depan telah meneruskan pengukuhan dolar AS, menyebabkan kebanyakan mata wang Asia sedang pesat membangun mengalah kepada tekanan jualan termasuk ringgit. Pada Khamis lepas, ringgit mencecah 3.9000 berbanding dolar buat kali pertama sejak krisis kewangan Asia pada 17 tahun lalu. Unit tempatan ditambat 3.80 kepada dolar AS dari 1998 hingga 2005 semasa krisis kewangan Asia oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Peniaga Mata Wang Capital Advisors, Justin Herling, memberitahu Bernama bahawa faktor lain seperti penurunan harga minyak dan ekonomi China yang sedang bergelut banyak menyumbang kepada penyusutan ringgit. Beliau mengunjurkan ringgit akan turun kepada 4.05 dalam tempoh 30 hari akan datang. "Bagaimanapun, kita melihat ini sebagai pembetulan jangka pendek tetapi asas jangka panjang masih kekal kukuh," katanya. Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada 3.9220/9250 daripada 3.8230/8260 yang dicatatkan pada Jumaat lepas. Mata wang tempatan turut jatuh berbanding dolar Singapura kepada 2.8291/8317 daripada 2.7775/7799 pada Jumaat lepas dan susut berbanding yen kepada 3.1429/1458 daripada 3.0771/0800 sebelum ini. Ia merosot berbanding pound sterling kepada 6.0881/0943 daripada 5.9509/9563 pada minggu lepas dan rendah berbanding euro pada 4.2836/2885 daripada 4.1816/1860 sebelum ini. - BERNAMA 

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang