Sunday, 13 December 2015

Pesawat tersadai di KLIA: Pemilik tampil beri penjelasan

KUALA LUMPUR: Pemilik tiga buah pesawat yang tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) telah tampil ke hadapan dan membuat pengakuan sering berhubung dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Memetik laporan The Star, Ketua Pegawai Eksekutif Swift Air Cargo, Kapten Blue Peterson, berkata tiga buah pesawat itu sememangnya milik mereka sejak 8 Jun tahun ini.

"MAHB tahu tentang perkara ini kerana kami sudah sering berhubung dengan mereka berkenaan pesawat tersebut.

"MAHB bagaimanapun enggan membuat pengesahan pemilikan pesawat berkenaan kepada kami walaupun kami memiliki dan telah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan, termasuk resit pembelian," katanya.

Peguam, Syed Amir Ibrahim dari Syed Ibrahim & Co, yang menjadi saksi prosedur dokumentasi, mengakui kebenaran dakwaan Peterson itu ketika dihubungi The Star.

Peterson juga menjelaskan pihak mereka sedang menanti panggilan perjumpaan daripada MAHB untuk menyerahkan lebih banyak dokumen berkaitan pemilikan tiga pesawat berkenaan.

Namun mereka dikejutkan dengan penyiaran notis yang meminta pemilik datang menuntut pesawat tersebut.

Swift Air Cargo buat masa ini dikenali sebagai Splunk n’ Dash Sdn Bhd, sementara menanti kelulusan perubahan nama itu daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Isnin lalu, MAHB menyiarkan notis agar pemilik Boeing 747-200F itu tampil dan menuntut pesawat-pesawat berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kesemua pesawat itu dijual atau dilupuskan.

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang