Tuesday 12 August 2014

Sultan Selangor perkenan Khalid kekal sebagai MB



Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan Sultan Selangor mahu beliau terus kekal sebagai menteri besar selepas baginda diyakinkan beliau masih mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu, beliau mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas memberi penjelasan kepada baginda pagi tadi.

"Saya jelaskan bahawa di sebalik pemecatan sebagai ahli PKR saya masih memperoleh kepercayaaan majoriti ahli dewan.

"Justeru Tuanku berpuas hati dengan penjelasan dan perkenan untuk terus pegang jawatan menteri besar Selangor.

"Sehingga ada perkembangan terbaru, saya akan terus jalankan tugas," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini.

Khalid hadir mesyuarat ‎khas Majlis Dewan Diraja Selangor di Istana Alam Shah, Klang pukul 8.40 pagi tadi dan dilihat meninggalkan perkarangan istana pada 12.40 tengah hari.

Majlis Dewan Diraja merupakan badan penasihat untuk Sultan Selangor menjalankan tugasnya sebagai ketua kerajaan negeri.

Majlis dianggotai empat kumpulan iaitu ahli ex-officio, Ahli Waris (kerabat diraja), Orang-Orang Besar, dan Orang Tua-Tua, selain Khalid.

Anggota Ex-Officio Dewan antaranya adalah Tengku Bendahara Selangor Tengku Azman Shah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Empat Ahli Waris adalah Tengku Aris Temenggong Selangor, Tengku Muhamad Yusof Shah; Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah; Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah dan Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah.

Lima Orang-Orang Besar pula adalah Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Setia Ramli Tengku Shahruddin Shah; Engku Setia Lela Bestari, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda; Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Paduka Putra Tengku Azman Shah; Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Datuk Paduka Raja Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan Teh dan Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Klang, Datuk Setia Diraja Abdul Ghani Pateh Akhir.

Orang Tua-Tua pula dianggotai Datuk Setia Abdul Halim Abdul Rauf, Tan Sri Ambrin Buang, Jeneral Tan Sri Mohd Hashim Mohd Ali, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir, Tan Sri Setia Ismail Adam, Datuk Setia Ramli Mahmud dan Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor, Datuk Aman Shah Mohd Shahar.

Khalid berkata, semasa pertemuan itu Sultan bertanya sama ada beliau masih memperoleh majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan beliau mengakuinya.

Ditanya sejauh mana sokongan majoriti yang diperoleh, Khalid berkata bukan tugasnya untuk membuktikan perkara itu tetapi ia perlu dikemukakan oleh parti dalam Pakatan Rakyat (PR) dan dibawa menghadap Sultan Selangor untuk mendapat perkenan.

"Parti lain perlu membuktikan sama ada menteri besar tidak ada sokongan majoriti mengikut tatacara dalam enakmen.

"Beliau boleh buat begitu dengan mengemukakan laporan kepada Sultan tetapi buat masa sekarang Sultan tak terima apa-apa laporan," katanya.

Khalid juga menyatakan pendirian tidak akan mengemukakan rayuan buat masa ini kepada Lembaga Disiplin PKR berhubung pemecatannya walaupun berpeluang sehingga tempoh 14 hari berbuat demikian.

Ditanya kemungkinan menyertai PAS dan membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno, beliau berkata mahu lihat dahulu sama ada berjaya meneruskan pentadbiran Selangor.

"Akan dipertimbangkan tetapi saya mesti bersihkan diri daripada tohmahan PKR dahulu sebelum buat apa-apa keputusan," katanya. – 11 Ogos, 2014.

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang