Sunday 23 August 2015

Polis Perlis sahkan 24 rangka manusia ditemui di Bukit Wang Burma

KANGAR: Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail, mengesahkan penemuan 24 rangka manusia lengkap dikafankan dari 18 kubur, dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, di Wang Kelian, semalam. 

Semua 24 rangka berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar jam 7.50 petang semalam untuk dirujuk kepada pakar patologi, katanya. 

Beliau yang dihubungi hari ini berkata, pihak berkuasa menemui 20 kubur, tetapi 18 kubur sahaja mengandungi rangka manusia. 

"Hujan lebat dipercayai menghakis kubur berkenaan yang membawa kepada penemuan rangka mayat itu," tambahnya. 

Beliau berkata, difahamkan 20 kubur berkenaan lebih lama daripada kubur yang ditemui Mei lalu dan kedudukannya pula hampir ke puncak bukit namun tidak jauh dari tempat penemuan lama. 

Shafie berkata penemuan itu dibuat oleh sepasukan 15 pegawai dan 108 anggota Polis Diraja Malaysia yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am; Bahagian Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah; Unit Pencegah Penyeludupan; Cawangan Khas dan pegawai penyiasat. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar malam tadi mengesahkan penemuan beberapa buah kubur lagi di kawasan sempadan Perlis dan Thailand. 

Beliau berkata, kubur berkenaan "adalah sebahagian daripada penemuan yang asal." Pada Mei lalu, pasukan keselamatan menemui 139 kubur mengandungi 106 rangka mangsa pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma. 

Pihak berkuasa agama Islam Kedah dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara telah mengebumikan 99 daripada mayat mangsa yang ditemui itu di Tanah Perkuburan Islam Khairiah Kampung Tualang, Pokok Sena baru-baru ini. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang