Sunday 23 August 2015

Terlerai sudah 'sengketa' Astro dengan pewaris AR Tompel


KUALA LUMPUR: Ucapan pelawak A R Badul ketika diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Juri sebagai menghargai pembabitan seninya sejak 37 tahun pada Anugerah Lawak Warna 2015 anjuran Astro di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) malam tadi memberikan kesimpulan sendiri terhadap masalah berbangkit sebelum ini. 

Ucapan 'kosong-kosong' yang turut menjadi tagline Aidilfitri stesen TV berbayar yang terpacul daripada mulut pelawak generasi terdahulu itu sekali gus menjadi penamat sengketa yang pernah wujud di kalangan pewaris Allahyarham AR Tompel dengan pihak Astro sendiri berhubung isu telefilem biopik Saloma yang pernah tercetus sekitar Oktober tahun lalu. 

Pewaris Allahyarham A R Tompel termasuk AR Badul dan Adlin Aman Ramli ketika itu mengadakan sidang media di FINAS menggesa pihak Astro memberhentikan siaran telefilem berkenaan serta merta yang diterbitkan Syarikat Kus Semangat Aktor milik Melissa Saila. 

Dakwa pewaris keluarga berkenaan, semua yang dipaparkan membabitkan AR Tompel itu berunsur tohmahan dan fitnah. 


"Yang lalu itu biarlah berlalu. Tak ada dendam. Kes lama tak perlu diungkit lagi. Tak ada faedah pun nak memanjangkan hal itu. Lama kelamaan ia hanya akan memutuskan tali persaudaraan sesama insan dan membuka aib sahaja."

Jadi saya ambil kesempatan malam tadi ketika diumumkan sebagai penerima anugerah Khas Juri untuk memohon supaya sengketa itu ditamatkan. 

Kita cari damai yang elok," kata AR Badul ketika dihubungi BH Online sebentar tadi. PELAKON, Adlin Aman Ramlie (kiri) bersama AR Badul (dua dari kiri) pada sidang media Waris-Waris AR Tompel yang diadakan di FINAS, tahun lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din 

Bagaimanapun menurut AR Badul yang sudah 37 tahun bergelar anak seni, apa yang dilakukan mereka sebelum ini atas dasar memperbetulkan hak dan tanggapan negatif masyarakat terhadap Allahyarham AR Tompel selepas telefilem itu bersiaran dan jauh sekali mencari glamor mahupun mengharapkan pulangan kewangan. Menurutnya, bapanya tidak seteruk seperti yang dicerita dan digambarkan Mariani dalam telefilem berkenaan."

Asalnya hanya nak betulkan perkara yang tak betul termasuk fakta mengenai Allahyarham yang dilihat menyimpang dan keterlaluan. Perkara kecil sahaja cuma cara tak kena. Dalam hal itu, tak perlu nak tuding jaring kepada sesiapa. Harapnya ia akan jadi pengajaran buat waris keluarga artis tanah air jika berdepan dengan situasi yang sama. 

"Malah pihak kami pun selepas bertanyakan peguam, memang tak ada akta untuk kami menuntut, menyaman atau membuat rungutan terhadap situasi sebegitu. Pihak Melissa Saila pun secara mudah patut beritahu dan maklumkan kepada kami mengenai apa yang dibikinnya. Kalau kami bersetuju dari awal, memang tak akan berlaku 'kekecohan' seperti sebelum ini. Melissa pun bukan sesiapa dengan kami...ada bau-bau bacang lagi. 

"Ketepikan soal undang-undang, kita sebagai manusia ada adat dan santun sebagai orang Melayu. Setidak-tidaknya bertemu dengan kami dan jelaskan apa yang ingin dibuat. Yang mati pun sudah tak ada lagi, yang bercerita menurut Mariani berkemungkinan boleh mereka apa sahaja cerita. Kalau hal yang sama terjadi kepada Mariani, bagaimana pula rasa dan tindakan Melissa contohnya jika diceritakan kisah sebenar mengenai ibunya," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang