Monday 7 September 2015

Henti sebar khabar angin berkaitan kehilangan Kevin - KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta orang ramai agar tidak menyebar khabar angin berkaitan kehilanganTimbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) nasihatkan; hentikanlah menyebar khabar angin seperti di bawah yang mengelirukan orang ramai," katanya menerusi laman twitter rasminya, pada Ahad.

Khalid berkata demikian sebagai merujuk kepada satu tulisan oleh seorang pengguna twitter yang mendakwa bahawa sebuah kereta yang ditemui di Hutan Melintang, Perak pagi tadi adalah milik Kevin Morais.

Beliau didakwa terlibat dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pemilik akaun Twitter itu turut memuat naik tiga keping gambar kereta yang didakwanya milik Kevin Morais.

Kevin Morais dilaporkan kali terakhir dilihat pada Jumaat lepas, meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya. 

Beliau dikatakan memandu Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Polis pada Ahad menemukan sebuah kereta terbakar di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak, yang dipercayai hampir sama dengan model kereta yang digunakan oleh pegawai itu.


Bagaimanapun, polis tidak mengesah atau menafikan bahawa kenderaan yang ditemui itu milik Kevin Morais.

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang