Saturday, 3 January 2015

Mangsa banjir di enam negeri catat penurunan setakat 7 petang ini

Keadaan banjir di enam negeri semakin beransur pulih apabila bilangan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Sabah mencatatkan penurunan setakat 7 petang ini berbanding tengah hari tadi.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir menurun kepada 9,877 orang daripada 2,380 keluarga yang masih berada di 91 pusat pemindahan berbanding 9,957 orang pada tengah hari tadi.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan berkata jumlah mangsa yang direkodkan adalah di Tanah Merah dengan 1,668 orang, Kuala Krai (3,636), Machang (2,419) dan Gua Musang (2,154).

Pusat pemindahan di Tumpat ditutup sepenuhnya pada petang ini.

Di TERENGGANU, keseluruhan banjir hampir pulih apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan daerah Dungun menurun kepada hanya 44 orang berbanding 143 orang tengah hari tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, kesemua mangsa tersebut adalah sebahagian daripada mangsa yang ditempatkan di Sekolah Menengah Durian Mentangau.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun sedikit kepada 42,703 orang berbanding 42,938 tengah hari tadi yang ditempatkan di 183 pusat pemindahan dalam tujuh daerah yang terjejas.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata tujuh daerah yang masih terjejas itu ialah Temerloh menempatkan 20,909 orang, Pekan (11,096), Jerantut (3,659), Bera (3,416), Maran (2,149), Kuantan (1,074) dan 400 orang di Lipis.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang direkodkan menurun kepada 6,653 daripada 1,820 keluarga pada petang ini berbanding 6,775 orang tengah hari tadi.

Jurucakap MKN Perak berkata kesemua mangsa masih berada di 42 pusat pemindahan di lima daerah iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak.

Mangsa banjir di daerah Perak Tengah menurun sedikit kepada 5,056 orang, begitu juga di daerah Kuala Kangsar (460), Hilir Perak (272) dan Manjung (140) manakala di Hulu Perak kekal pada 725 orang.

Di JOHOR, keadaan banjir semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir menurun kepada 86 mangsa daripada 18 keluarga berbanding 116 orang tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor berkata 30 orang yang ditempatkan di Sekolah Agama Kampung Kuala Paya di daerah Segamat, telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga kini, hanya lima pusat pemindahan yang masih aktif iaitu di Sekolah Kebangsaan Kota Dalam di daerah Batu Pahat yang menempatkan 28 orang dan empat lagi di daerah Segamat iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Simpang Loi (11 orang), Balairaya Kampung Batu Badak(28 orang), Balairaya Kampung Tandung (10 orang) dan Balairaya Kampung Sanglang (sembilan orang).

Sementara itu, di SABAH, jumlah mangsa banjir yang masih berada di empat pusat pemindahan di empat daerah negeri ini menurun kepada 1,023 orang daripada 268 keluarga pada petang ini berbanding 1,105 orang daripada 335 keluarga tengah hari tadi.

Jumlah mangsa di daerah Kudat bagaimanapun mencatatkan peningkatan mendadak kepada 864 orang daripada 234 keluarga berbanding 265 orang daripada 65 keluarga tengah hari tadi dan mereka ditempatkan di pusat pemindahan banjir di SK Sikuati.

Pegawai Daerah Kudat Sabdin Ibrahim berkata peningkatan mendadak itu disebabkan peningkatan paras air Sungai Korina kepada 2.68 meter iaitu melepasi paras bahaya 2.2 meter.

Di daerah Pitas pula jumlah mangsa banjir ialah 139 orang daripada 29 keluarga dan ditempatkan di pusat pemindahan SK Rokum dan Dewan Gereja Kampung Kebatasan.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Gari Itam berkata operasi dua pusat pemindahan banjir di daerah itu iaitu Dewan Tun Said dan Dewan Chung Hwa ditutup kira-kira jam 5 petang tadi.

Bagaimanapun katanya pusat pemindahan banjir di Dewan SMK Taun Gusi di daerah berkenaan masih beroperasi kerana terdapat 20 mangsa daripada lima keluarga belum dapat pulang ke rumah masing-masing.







Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Loading...
Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang