Wednesday 29 July 2015

Tak payah nak ‘sentap’

Putrajaya: Bukan gaji sebulan, tetapi dua bulan termasuk bayaran kerja lebih masa. Itu penjelasan diberikan syarikat tempat seorang lelaki dikatakan warga Bangladesh bekerja yang memperoleh gaji lebih RM5,000 untuk Jun, seperti yang ‘viral’, semalam.

Menurut jurucakap syarikat itu, pekerja berkenaan sudah memaklumkan kepada syarikat untuk berhenti dan balik ke negara asal.

"Jadi, syarikat mengira semua gaji untuk Mei dan Jun termasuk bayaran kerja lebih masa yang dibuat dalam tempoh dua bulan berkenaan.

"Disebabkan itu, jumlah gaji yang diterima pada Jun lebih RM5,000. Biasanya, gaji yang diterima tidak mencecah RM5,000 sebulan,"katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, lelaki terbabit sudah berhenti kerja dan balik ke negara asal.

Gambar salinan penyata gaji lelaki itu menjadi viral di laman Facebook sejak semalam.

Jumlah gaji pekerja bahagian pemunggahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 itu mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif pengguna laman Facebook kerana gaji yang diperolehinya tinggi.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Zulkornain Yusop berkata, tidak timbul isu ‘double standard’ dalam pemberian gaji antara pekerja asing dengan rakyat tempatan.

Menurutnya, gaji yang diterima warga Bangladesh itu adalah setimpal dengan waktu kerja yang diperuntukannya termasuk kerja lebih masa yang mencecah sehingga RM1,700 itu, selain daripada bidang kerja jarang diceburi rakyat negara ini.

“Kalau nak duit banyak, kerja kena banyak juga. Mungkin dia kerja lebih banyak daripada orang lain untuk mendapatkan gaji setinggi itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan masih perlu memantau majikan yang mungkin mengambil kesempatan terhadap pekerja warga asing dengan mengizinkan mereka bekerja melebihi waktu yang ditetapkan.

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang