Thursday 13 August 2015

SPRM nafi berita pegawainya buat laporan terhadap KSN

MUSTAFAR: Pihak media harus bertanggungjawab dan tidak menyiarkan laporan-laporan yang memetik sumber yang tidak sah.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan laporan MalaysiaKinibahawa pegawai-pegawai SPRM ada membuat laporan terhadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009.

Mengulas laporan portal berkenaan hari ini di bawah tajuk "MACC files reports against chief sec, PSD head on transfers," Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali menyifatkan laporan itu sebagai tidak berasas.

"Selain tidak berasas sama sekali, SPRM berpandangan laporan seumpama ini bermotif melaga-lagakan hubungan baik antara agensi-agensi awam dan kepimpinan perkhidmatan awam Malaysia." kata Mustafar dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM juga katanya, berharap pihak media harus bertanggungjawab dan tidak menyiarkan laporan-laporan yang memetik sumber yang tidak sah.

MalaysiaKini dipetik sebagai berkata, beberapa pegawai SPRM didakwa telah membuat laporan terhadap Ali Hamsa dan Mohamad Zabidi berhubung perpindahan Pengarah Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob, sambil memetik sumber yang dirahsiakan.

"Terdapat beberapa laporan yang difailkan di bawah Seksyen 48 Akta SPRM 2009" menurut sumber berkenaan.

Seksyen 48 Akta SPRM adalah berkaitan kesalahan menghalang siasatan.
Susulan bantahan keras daripada pelbagai pihak, perpindahan dua pegawai kanannya itu ke Jabatan Perdana Menteri pada Jumaat lalu, dibatalkan.

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang