Saturday 23 November 2013

Golongan miskin mungkin bayar cukai jualan lebih rendah dengan GST, kata pakar

Rakyat Malaysia perlu faham bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka dilaksanakan pada 2015 seperti di kebanyakan negara lain adalah yang telah dipinda dengan peruntukan kadar cukai sifar atau pengecualian daripada cukai.

Tan Sri Dr Fong Chan Onn menjelaskan, GST yang dipinda dan yang akan digunapakai oleh Malaysia menyenaraikan 40 barangan keperluan makanan asas dengan kadar cukai sifar.

Barangan itu termasuk beras, gula, susu tepung dan tepung sementara perkhidmatan yang penting seperti penjagaan kesihatan mungkin juga dikecualikan cukai.

“Di peringkat peribadi, menerusi GST yang dipinda, orang ramai boleh membuat keputusan sama ada untuk membayar cukai penggunaan apabila makan di luar atau mengelakkan cukai dengan menyediakan makanan sendiri dengan barangan yang sudah dikecualikan cukai GST,” kata mantan profesor Ekonomi Gunaan dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya.

GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 16% yang pada masa ini dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu, seperti makanan dan minuman dalam perkhidmatan restoran serta hotel.

Dewasa ini, sebahagian besar orang awam di negara ini tidak sedar bahawa meskipun mereka yang tidak perlu membayar cukai pendapatan, mereka masih membayar cukai jualan dan perkhidmatan di bawah SST.

Ini adalah kerana kebanyakan pengguna tidak sedar bahawa cukai itu telah diserapkan dalam harga barangan dan perkhidmatan yang dijual peruncit.

Sesetengah ahli ekonomi menekankan bahawa memandangkan kebanyakan barangan sudah dikenakan cukai di bawah SST, perpindahan daripada SST ke GST akan meringkan beban golongan miskin kerana sesetengah barangan yang mereka beli adalah barangan sifar cukai.

Pada dasarnya, GST dikatakan sebagai cukai regresif memandangkan ia dikenakan terhadap semua barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan di negara ini dan juga yang diimport.

Cara untuk meringankan beban cukai

Bagaimanapun, seperti yang dijelaskan oleh Timbalan Ketua Sekolah Perniagaan, Universiti Monash Malaysia Prof Jeyapalan Kasipillai ada cara untuk meringankan beban yang ditanggung kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana serta perniagaan kecil.

"Bekalan barangan penting melebihi 40 jenis akan menjadi sifar cukai atau dikecualikan cukai.

“Langkah ini sudah tentunya memihak kepada sebahagian besar masyarakat, terutamanya kumpulan berpendapatan rendah,” beliau menulis dalam satu artikel yang disiar akhbar tempatan pada 19 Oktober.

Barangan dan perkhidmatan sifar cukai adalah barangan di mana tiada cukai dikenakan kepada pengguna, yang bererti pengguna akan membayar GST pada kadar sifar peratus.

Menurut beliau berdasarkan data yang dikumpul Kajian Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang mencantumkan maklumat paras dan kecenderungan perbelanjaan penggunaan oleh isi rumah terhadap pelbagai barangan dan perkhidmatan, dapatan menunjukkan GST adalah progresif.

Sesetengah penganalisis meramalkan cukai baru itu berkemungkinan bermula pada kadar 4% dan kemudiannya akan meningkat kepada 6%.

Sebahagian daripada reformasi fiskal

Malaysia adalah antara negara Asean terakhir selain daripada Myanmar dan Brunei yang belum melaksanakan GST.

Indonesia memperkenalkan GST pada 1985 sementara Thailand dan Singapura, masing-masing pada 1992 dan 1994.

Dr Fong turut menjelaskan bahawa GST adalah sebahagian daripada reformasi fiskal yang dibuat kerajaan untuk mengurangkan defisit dan mencapai belanjawan seimbang pada 2020.

Langkah ini juga akan menambah jumlah pembayar cukai di mana pada masa ini hanya 1.7 juta daripada 29 juta penduduk negara ini membayar cukai pendapatan.

Dengan perlaksanaan GST, sudah pasti rakyat Malaysia akan lebih berhemah dalam perbelanjaan mereka.

Pertamanya, mereka akan mengira cukai dan kemudian membuat penilaian sama ada satu-satu pembelian itu berbaloi atau tidak.

Jika pengguna mendapat pembelian pada harga yang dikenakan itu tidak diperlukan, mereka mungkin mencari alternatif yang lebih murah atau membatalkan langsung hasrat untuk membeli. – Bernama, 25 Oktober, 2013.

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang