Friday 31 October 2014

Arked dihuni 6 makhluk halus



Melalui lebuh raya ke pusat bandar Adelaide, Australia Selatan, kelihatan banyak pepohon menghijau ditanam berderet sepanjang laluan itu. Semakin dekat ke pusat bandar, semakin banyak pokok menghijau segar di pasak bumi yang dapat digarapkan taman dan rimba mendominasi Ade­laide.

Sebaik penulis dan anak memasuki pusat bandar, banyak pokok yang tinggi subur menghijau beriringan dengan bangunan, menjadikan Adelaide kelihatan segar.

Walaupun bangunan tersergam ciri biasa di pusat bandar, Adelaide dipenuhi rimbunan pokok. Kami berjalan-jalan di pusat bandar Adelaide dengan melalui deretan kedai menjual pelbagai barangan dan kafe.

Penulis memasuki kedai menjual pakaian, kedai sukan dan beg, dan apabila terjumpa beg atau baju yang cantik dengan diskaun istimewa, penulis membelinya.

Kami terus berjalan-jalan sambil meninjau dari satu kedai ke kedai lain hinggalah kami memasuki The Adelaide Arcade (Arked Adelaide).

Arked Adelaide adalah bangunan lama di celah pusat bandar yang mempunyai sejarah tetapi kini menjadi tarikan ramai. Bangu­nan masih dikekalkan ciri lama tetapi hiasan dalamannya diperbaharui dengan lantai jubin yang cantik dengan corak geometri. Bahu harum dan segar daripada juadah manisan mulut penduduk tempatan menyambut setiap pengunjung yang melangkah masuk.

Penulis menikmati haruman bau biskut yang wangi, sekali gus membangkitkan selera untuk menjamah lantas kami membeli biskut yang menyediakan pelbagai pilihan cita rasa.

Selain itu, makanan daripada tiram hinggalah kepada makanan yang banyak menggunakan mi­nyak zaitun berserta keju dengan resipi tradisional antara menu jualan peniaga.

Boleh dikatakan tidak lengkap kunjungan ke sini tanpa membeli aneka makanan yang dijual di gerai dalam arked ini seperti biskut pelbagai cita rasa yang dibakar segar dari oven.

Pengunjung juga boleh membuat pilihan lain terhadap makanan tempatan yang disediakan oleh chef tempatan atau menyertai sesi lawatan untuk melihat aktiviti di sebalik gerai atau menikmati kopi dengan aroma segar dan kek di kafe.

Penulis berjalan sambil mencuci mata dengan barang dagangan yang membawa kepada penemuan ruang memaparkan sejarah bangunan ini dari pelbagai peringkat kejadian yang berlaku di arked ini melalui potongan akhbar dan gambar lama.

Sedikit hikayat arked ini diceritakan pada paparan penulisan yang menyebut arked ini siap dibina pada 1885 dengan ciri serta pe­ngaruh Itali dan ketika pada zaman pembinaannya dikatakan paling moden.

Bukan saja ketika itu ia dibina dengan cermin tingkap yang besar pada setiap bahagian depan kedai di semua tingkat serta bumbung berjendela langit, malah kedai jualan runcit pertama mempunyai lampu elektrik.

Walaupun tingkat bawah arked ini berubah beberapa tahun kebelakangan ini, tingkat atas masih mengekalkan binaan asal.

Pada permulaan arked ini dibina mengandungi 50 kedai tetapi hari ini mempunyai 100 kedai menjual baju, beg, barang perhiasan, dandanan diri, pakaian, restoran serta kedai kek dan biskut.

Kisah yang tidak berapa sedap didengar ialah arked ini dikatakan dihuni enam makhluk halus. Jelmaan paling terkenal ialah Francis 'Fred' Cluney, penjaga arked ini yang mati pada 1887. Dia dikatakan terjatuh dalam generator yang menghidupkan lampu di arked ini.

Walaupun generator itu terletak di tingkat bawah, jelmaan itu dikatakan turut mendiami bahagian bumbung. Namun jangan bimbang, arked ini tidak dibuka pada sebelah malam, jadi tidak perlu resah terserempak dengan penghuni malam, jika benar ada.

Berkembar dengan arked ini ialah Arked Gays menyediakan pusat penerangan pelancong menjual pelbagai kraf tangan serta jika keletihan boleh saja menghirup kopi cappuccino atau latte di kafe.

Selepas menghabiskan ba­nyak masa di pusat bandar yang menghijau, kami menuju ke Mount Lofty Summit (Puncak Gunung Lofty) di Adelaide Hills (Bukit Adelaide). Puncak ini menawarkan pandangan sayup dari kejauhan dan ketinggian Mount Lofty Summit (Puncak Gunung Lofty) seluruh Adelaide yang digarap dalam satu masa. Pada puncak bukit ini satu pandangan panorama yang memaparkan dari bangunan tinggi di pusat bandar hingga ke pantai.

Kami berkereta 20 minit dari pusat bandar Adelaide untuk sampai di Puncak Gunung Lofty yang mesti dilawati pengunjung ke Adelaide dan dari ketinggian puncak kami melihat keseluruhan Adelaide.

Kami tiba di puncak pada waktu tengah hari dan perut berkeroncong kerana waktu makan tengah hari. Pilihan yang kami ada ialah aneka juadah di Restoran dan Kafe Summit. Menu pilihan kami pula ialah makanan Itali serta hidangan ikan dan kentang (fish and chips).

Rasanya tidak berapa enak, cuma kelebihannya ialah kami makan di puncak setinggi 710 meter yang menerima 350,000 pe­ngunjung setiap tahun.

Kompleks Summit menyediakan pusat penerangan pelancong membantu pengunjung me­ngenai persekitaran bukit ini dan beberapa tarikan lain pelancong selain menyediakan kedai menjual cendera hati.

Kemana-mana tempat penulis pergi, tidak lengkap jika tidak berjalan-jalan di denai dalam hutan. Oleh kerana kami berkereta ke Bukit Lofty, penulis memilih berjalan dalam hutan di taman Botanic dan Taman Rymill sambil menghidup udara segar dan menikmati keindahan dan lanskap tumbuhan hutan dipelihara pihak berkuasa.

Sememangnya kawasan luas dan menghabiskan masa menikmati suasana rimba sangat berbaloi. Oleh kerana sampai di Adelaide walaupun hati condong kepada hutan, namun penulis mengambil kesempatan dalam kunjungan ini ke kawasan pesisiran pantai Glenelg.

Kami memandu untuk tiba ke pekan Holdfast Bay tetapi boleh juga menaiki tram dari pusat bandar Adelaide dan mengambil masa 25 minit. Di sini penulis melihat perkampungan persisiran pantai dan suasana kehidupan ceria.

Tersusun di Glenelg pantai berpasir bersih, hotel warisan menarik, kedai menjual pelbagai barang, taman tema mainan air dan kafe di kaki lima. penulis tidak melakukannya tetapi mereka yang berminat boleh berenang bersama ikan lumba-lumba liar jika bernasib baik, menyelam, snorkeling atau memancing.

Setiap tempat tetap mempunyai sejarah dan sejarah Glenelg dapat diketahui dengan berkunjung ke galeri dan muzium atau turut saja memeriahkan pelbagai festival yang dianjurkan di Glenelg dan bandar pantai berjiran.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4097#sthash.o1Ak2s90.dpuf

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang