Tuesday, 4 November 2014

Kementerian Kaji Guna Senarai BR1M Untuk Agih Beras ST15



KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang mengkaji kemungkinan menggunakan senarai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk tujuan pengagihan beras subsidi Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15).

Menterinya Datuk Seri Noh Omar berkata ini bagi mengelak ketirisan dan memastikan subsidi beras itu sampai kepada golongan yang memerlukan.

Menurutnya kementerian pernah memikirkan untuk mengklasifikasikan beras ST15 sebagai barangan kawalan tetapi langkah itu tidak akan memberi kesan berikutan hanya 30 peratus beras itu berada dalam pasaran.

“Kini terdapat 3.8 juta penerima BR1M, kita ada peruntukan kira-kira RM44 juta dan jika ada tambahan penerima menjadikan empat juta orang (penerima BR1M), kalau kita nak buat, kita boleh beri RM10 seorang untuk membeli beras setiap bulan.

“Kita kena tengok keberkesanannya, sama ada sesuai atau tidak,” kata Noh ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Noh berkata kementerian telah lama menyedari penyelewengan berhubung beras ST15 dan pernah mencadangkan pelaksanaan program Beras Subsidi Untuk Rakyat (Subur) untuk golongan sasar melalui sistem baucar.

“Kita nampak ketirisan berlaku, jadi kita sedang mencari kaedah terbaik untuk meneruskan bantuan subsidi beras yang menyediakan peruntukan yang besar ini,” katanya.

Beliau berkata subsidi beras ST15 mungkin perlu ditiadakan jika pelaksanaannya dilihat tidak memberi kesan sewajarnya.

Persidangan disambung esok.

Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Loading...
Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang