Tuesday 9 December 2014

Tangkap samseng bola sepak

KUALA LUMPUR - Ganas dan memalukan! Itulah gambaran yang boleh diberikan berikutan sikap samseng dan tidak bertamadun segelintir penyokong pasukan bola sepak Malaysia ketika menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF antara Harimau Malaya dan Vietnam di Stadium Shah Alam, kelmarin.



Tindakan ganas mereka menyerang penyokong Vietnam tanpa sebab adalah perbuatan yang cukup memalukan, sekaligus mencemarkan nama baik negara. Kelompok yang berbuat demikian bukanlah penyokong atau pencinta bola sepak sebaliknya adalah samseng!

Ini memandangkan apa yang mereka lakukan bukanlah budaya rakyat negara ini yang cintakan keamanan dan sentiasa memiliki semangat kesukanan tinggi. Lihat sahaja gambar-gambar yang tersebar di internet, tanpa belas ihsan mereka menyerang penyokong Vietnam sehingga ada yang cedera.

Oleh itu seperti mana didesak oleh pelbagai pihak melalui laman-laman sosial dan blog, adalah wajar samseng-samseng bola sepak tersebut segera ditangkap dan dikenakan tindakan sewajarnya.

Jangan biarkan mereka terlepas kerana perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan nama baik negara tetapi meletakkan penyokong-penyokong Malaysia yang akan ke Hanoi pada Khamis ini dalam bahaya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga perlu memandang serius kejadian yang berlaku kerana kewujudan samseng bola sepak di negara ini sama sekali tidak boleh dibenarkan. Tidak kira berapa ramai pun mereka yang pasti jangan biarkan kumpulan ini ibarat ‘api dalam sekam’ kepada bola sepak Malaysia.

Mungkin mereka tidak ramai tetapi perbuatan ganas itu boleh mengakibatkan imej negara tercemar dan paling buruk kerana ‘nila setitik rosak susu sebelanga’ dan ‘jangan kerana seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit.’

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya kejadian tersebut dan memohon maaf kepada penyokong Vietnam di atas tindakan keji segelintir penyokong Malaysia.

“Ini bukan cara orang Malaysia. Keganasan bukan dan tidak pernah menjadi budaya kita. Majoriti penyokong kita bertindak sopan, beradab dan mesra namun yang menyedihkan saya, perlawanan ini akhirnya dicemari dengan insiden buruk sebegini,’’ katanya.

Khairy berkata, beliau sudah pun bercakap dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Noor Rashid Ibrahim untuk meminta siasatan segera dilakukan.

“Saya juga telah menghubungi Duta Vietnam ke Malaysia, Pham Cao Phong dan memohon maaf sekali lagi kepada penyokong Vietnam terhadap apa yang berlaku. Saya memberi jaminan pihak polis akan mengambil tindakan proaktif dan pantas dalam siasatan mereka,’’ katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Duta Vietnam itu turut memberi jaminan keselamatan penyokong Malaysia yang akan menyaksikan perlawanan di Hanoi pada Khamis ini diberi perhatian oleh pihak berkuasa negara itu.

“Walaupun dengan jaminan yang diberikan, keadaan masih tegang. Saya berharap penyokong Malaysia ke Hanoi bukan hanya berhati-hati tetapi lebih penting lagi bertindak dengan penuh hormat dan bertanggungjawab,’’ katanya.

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang