Tuesday 9 December 2014

Haramkan samseng masuk stadium – Khairy

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu samseng yang mencetuskan kekecohan dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF, kelmarin diharamkan daripada menonton semua perlawanan bola sepak di negara ini.


Menurut Khairy, beliau telah melontarkan cadangan itu kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

“Saya sudah maklumkan kepada beliau (Hamidin) bahawa apabila polis sudah mengesahkan mereka ini terlibat dalam tindakan ganas semalam, FAM patut hukum penyokong itu.

“Ada dua langkah, yang pertama kenakan undang-undang dan ke­dua, FAM sendiri boleh meletakkan syarat terhadap penyokong tersebut dan melarang mereka ma­suk dalam semua perlawanan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Aksi separuh akhir pertama Piala AFF kelmarin bertukar kecoh selepas segelintir penyokong Malaysia bertindak menyerang penyokong Vietnam hingga mengalami kecederaan.

Insiden itu berlaku ketika Malaysia ketinggalan 1-2 sekitar minit ke-85 permainan.

Ekoran daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir samseng bola sepak itu, keselamatan kontinjen Malaysia kini terancam apabila saingan separuh akhir ke­dua Piala AFF berpindah ke Hanoi, Khamis ini.

Di laman sosial, ramai penyokong Vietnam meluahkan kemarahan, malah ada yang mengancam untuk membalas dendam bagi pihak rakan-rakan mereka.

“Tunggu sampai kami jumpa anda lagi di Hanoi,” itu antara kata-kata peminat yang marah.

Ada lebih ekstrem dengan me­nulis: “Malaysia, kami akan bunuh kamu di Stadium My Dinh. Tunggu saja.”

Namun begitu, ada juga penyokong yang masih berfikiran rasional.

Tran Song Hai dari Persatuan Penyokong Bola Sepak Vietnam berkata, tidak perlu ada misi membalas dendam ke atas kira-kira 1,000 penyokong Harimau Malaya yang dijangka hadir menyaksikan perlawanan itu kelak.

“Mereka bukan ekstremis. Jangan balas dendam ke atas mereka,” katanya kepada stesen televisyen Vietnam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/haramkan-samseng-masuk-stadium-8211-khairy-1.34184#sthash.lz0ZChXE.dpuf

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang