Sunday, 16 August 2015

Serangan siber bahayakan keselamatan negara walaupun sekadar berseronok


KUALA LUMPUR: Walaupun tiada kaitan dengan politik dan hanya dilakukan untuk tujuan berseronok, namun serangan dan ancaman siber daripada penggodam boleh membahayakan keselamatan negara, kata pakar tempatan.

Para pakar perang siber percaya tujuan penggodam berbuat demikian hanyalah untuk menarik perhatian terhadap langkah tidak bertanggungjawab mereka untuk mengganggu dan menumbangkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Pengarah esksekutif dan perunding kanan keselamatan IT LE Global Services Sdn Bhd, Fong Choong Fook, berkata penggodam dan tentera siber mungkin menjadikan infrastruktur penting negara sebagai sasaran mereka untuk meruntuhkan negara, kerajaan atau pihak yang memegang kuasa.

"Antara contohnya ialah sektor kewangan, tenaga, telekomunikasi, pendidikan, kerajaan dan sebagainya," katanya kepada Bernama, Rabu.

Baru-baru ini, satu video dipercayai daripada sebuah kumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka Anonymous Malaysia, muncul di laman media sosial dan mengisytiharkan mereka akan melancarkan perang secara habis-habisan terhadap kerajaan sedia ada.

Dalam video berkenaan, seorang yang memakai topeng yang mewakili kumpulan itu, mengancam untuk menggunakan semua sumber yang ada untuk melancarkan peperangan melalui internet bagi menyokong perhimpunan yang dirancang diadakan di sini pada 29 dan 30 Ogos ini.

Mengulas ancaman itu, Fong berkata beliau secara peribadi berpendapat perisytiharan kumpulan itu hanya temberang dan mereka tidak bersungguh-sungguh mengenainya.

"Perbuatan menggodam laman sesawang adalah perkara biasa, dan patut dianggap sebagai 'rahmat' kerana apabila sesuatu laman sesawang digodam, orang ramai akan lebih tahu mengenainya.

"Dalam menjalankan tugas sebagai penyiasat, kami mendapati penjenayah menggodam pelayan dan bersembunyi di dalam pelayan itu selama bertahun-tahun untuk mencuri rahsia perdagangan dan data sensitif korporat," katanya.

Dari sudut positif pula, Fong menjelaskan bahawa penggodam hanya mencari peluang dan alasan untuk melaksankan rancangan mereka dengan tujuan untuk mencari hiburan di ruang siber.

"Penggodam macam anda dan saya jugalah, sangat sukar untuk mengetahui apa yang dia mahu. Tetapi, memang ada individu oportunis yang ingin mendapatkan sesuatu untuk dirinya," kata beliau.

Dekan Fakulti Maklumat dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Abdullah Mohd Zin pula berkata lazimnya, penggodam tidak melibatkan diri dengan politik.

Menurutnya cara paling berkesan kerajaan melindungi infrastruktur maklumat penting negara daripada ancaman penggodam ialah dengan memiliki keselamatan siber bergred tinggi.


"Pelbagai agensi seperti CyberSecurity Malaysia boleh melaksanakan tugas itu," katanya.

Beliau berkata sistem yang digunakan entiti peringkat lebih rendah seperti pejabat daerah, yang sistem keselamatannya tidak dinaik taraf dari semasa ke semasa, lebih terdedah kepada serangan itu.

Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Loading...
Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang