Friday 21 August 2015

Malaysia, Singapura boleh jadi tuan rumah Sukan Olimpik - Bach

KUALA LUMPUR: Tidak ada sekatan bagi mana-mana negara untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach.

"Saya harap begitu … jika ingin Sukan Olimpik diadakan di sini (rantau Asia Tenggara), anda perlu menjadi calon. Saya berharap satu hari nanti kita boleh menganjurkannya di sini.

"Diharapkan kita boleh mengadakannya di sini kerana Agenda Olimpik 2020 memberi peluang Sukan Olimpik dianjurkan di negara yang sehingga kini tidak mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah temasya sukan itu," kata Bach mengulas mengenai kemungkinan Sukan Olimpik dianjurkan di Asia Tenggara.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar mengulangi bahawa rantau Asia Tenggara boleh menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan kemungkinan sebagai tuan rumah bersama di bawah Agenda Olimpik 2020.

"Menganjurkan secara sendiri adalah di luar jangkauan, namun mengikut agenda pembaharuan Olimpik, IOC membenarkan membuat bidaan bersama.

"Saya menjangkakan ada bidaan bersama antara Kuala Lumpur dan Singapura pada masa akan datang," kata Tunku Imran.

Beliau, bagaimanapun berkata ia terlalu lewat untuk membuat bidaan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2024.

"Saya telah bercakap dengan NOC (Majlis Olimpik Kebangsaan) Singapura dan beberapa pegawai dalam kerajaan. Ia terlalu lewat untuk membuat bidaan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2024, namun kami boleh mempertimbangkan untuk temasya sukan itu pada 2028 atau 2032," katanya.

Tunku Imran berkata Malaysia dan Singapura mempunyai kemudahan menganjurkan temasya sukan yang besar, namun kekurangan menyediakan atlet bertaraf dunia dalam pelbagai cabang sukan.

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang