Tuesday 28 October 2014

Kreatif jana duit



Melihat setiap satu perhiasan berasaskan Lego yang dihasilkan Amir Effendi, jelas tergambar kecintaan terhadap barangan ini. Bukan satu atau 10 tetapi beribu berjaya dihasilkan dan dijual kepada pencinta produk ini di sekitar Kuala Lumpur.

Malah setiap kali membuka jualan terus dari but kereta, gerainya sering menjadi tumpuan pelanggan lantaran produk dihasilkan berbeza dengan apa yang dijual di pasaran.

Jika Lego dikaitkan dengan permainan yang dibentuk seperti kereta, lori atau bas juga watak adiwira dalam filem aksi seperti Spiderman dan Batman tetapi Amir menghasilkan rekaan dengan gelaran My Own Creation (MOC) dengan menterjemahkannya ke dalam bentuk perhiasan seperti anting-anting, gelang, kerongsang, rantai, rantai kunci, tabung, tempat meletak kad nama, perhiasan topi dan meja. Menariknya, koleksi yang dihasilkannya 100 peratus berdasarkan idea sendiri.

Minatnya terhadap Lego bermula sejak di sekolah rendah apabila dia kerap melihat produk ini dijual di kedai. Namun disebabkan kekangan kewangan serta harga Lego yang mahal, dia tidak dapat memilikinya sehinggalah mempunyai pendapatan sendiri.

"Selepas bekerja saya mula mengumpul sedikit demi sedikit Lego yang dibeli di sekitar Kuala Lumpur dan luar Lembah Klang. Saya tertarik melihat kenderaan dan rumah yang dibina daripada Lego serta patung adiwira Star Wars yang menjadi antara filem aksi yang saya gemari. Semua koleksi ini saya simpan untuk dijadikan perhiasan di rumah," katanya.

Lama-kelamaan apabila semua patung idaman sudah dapat dimiliki termasuk beberapa jenis Lego kenderaan, Amir mula tercari-cari koleksi lain yang mampu dikumpul sehinggalah terfikir untuk mempunyai himpunan berbeza daripada orang lain. Menerusi kenalan dan tinjauan di Internet, dia mula mencari kedai menjual Lego dalam jumlah yang banyak.

"Pencarian saya membuahkan hasil apabila menemui kedai yang menyediakan pel­bagai jenis Lego dalam ukuran berbeza. Memang sangat teruja melihat ribuan Lego pelbagai warna diletakkan dalam bekas seperti sampan. Pelanggan pula boleh memilih mengikut kesukaan mereka," jelasnya.

Pada mulanya dia tidak berhasrat menjual rekaan yang dihasilkan sehinggalah memuat naik gambar rantai kunci dan tabung di laman sosial Facebook. Ketika itu rakan-rakan tidak menyangka produk yang dipaparkan berasaskan Lego dan mula bertanyakan produk lain seperti perhiasan pada topi, rantai kunci, pensel dan gelang.

"Dari situ saya mula terfikir untuk lebih kreatif. Saya menjadikan fesyen remaja sebagai inspirasi untuk menghasilkan rekaan. Misalnya kerongsang nampak unik dan mencetuskan kelainan kepada si pemakai. Begitu juga bunga meja yang dihasilkan daripada Lego ternyata menarik minat pelanggan memilikinya," ujarnya.

Gemar menyudahkan kerja kreatifnya pada waktu malam kerana suasana lebih tenang dan santai, jelasnya, idea biasanya datang secara tiba-tiba. Dari situ dia mula mencari bentuk rekaan yang jarang ditemui namun mendapat perhatian ramai. Hasilnya setiap kali membawa perhiasan ke tapak jualan pasti gerainya dikunjungi pelanggan. Walaupun tidak kesemuanya membeli, secara tidak langsung mendidik masyarakat untuk lebih mengetahui mengenai Lego.

Selain menjana pendapatan, permainan Lego mampu membina minda menjadi lebih kreatif. Ini kerana setiap satu peralatan yang dibentuk sama ada menjadi kenderaan atau perhiasan membantu perkembangan sel otak berhubung antara satu sama lain.

Bagi kanak-kanak, permainan ini mendidik mereka menjadi lebih sabar, kreatif dan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh.

"Ini dapat dilihat apabila mereka tekun menyusun menjadi bentuk yang diinginkan. Anak saya misalnya sangat meminati Lego dan mampu membuat pistol serta bentuk yang dia sukai. Saya biasanya membiarkan dia berimaginasi sehinggalah dia tahu apa yang ingin dibentuk," ujarnya yang turut menjadi pereka grafik sambilan.

Turut mendapat sokongan isteri Hazpalilah Husin, Amir menjelaskan isterinya berkemahiran menghasilkan perhiasan seperti anting-anting, cincin dan gelang. Kebanyakan perhiasan dibentuk mengikut cita rasa ramai dan ada juga pilihan individu. Berdasarkan maklum balas ramai, kebanyakan remaja memakai perhiasan ini kerana nampak 'cool' dan ringkas.

"Pelanggan saya daripada pelbagai bangsa terutama remaja Cina yang membuat pembelian menerusi dalam talian. Mereka menyukai kerana bentuknya yang berbeza, gabungan warna serta tahan lasak," katanya yang mampu mengumpul sehingga RM1,000 seminggu hasil jualan dari but keretanya.

Pada masa akan datang, Amir yang menetap di Kota Damansara, Selangor, berharap dapat membuka kedai Lego bagi mempamerkan koleksi yang dihasilkannya. Kedai yang diilhamkan ini bukan semata-mata dibuka kepada pencinta Lego yang ingin memiliki koleksi berbeza seperti yang ada di pasaran tetapi ia ibarat muzium yang mempamerkan produk berasaskan Lego hasil rekaan sendiri.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh melayari

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2357#sthash.vRdxFH22.dpuf

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang