“SAYA masih solo dan masih belum membuka hati untuk mana-mana lelaki,” tegas Elfira Loy saat ditanya tentang lelaki yang bertakhta di hatinya.
Bukan sekali dua orang cuba menebak hubungannya dengan pelakon Indonesia, Baim Wong dan jawapan yang diberikan Elfira tetap sama, masih menunggu mana-mana lelaki yang sesuai untuk dijadikan kekasih hati tempat bermanja.
Namun dua minggu lalu namanya kembali panas apabila dikaitkan semula dengan aktor tersebut selepas dilihat bersama-sama pada majlis perkahwinan Raffi Ahmad dan Nagita Slavina di Jakarta, Indonesia.
Gambar mesra mereka yang terlihat seolah-olah sedang dilamun cinta begitu banyak dikongsikan media di Indonesia yang membuat andaian Baim dan Elfira sedang berpacaran.
Menjelaskan mengenai perkara tersebut, Elfira tidak menyangka kedatangannya ke Jakarta ketika itu bakal menerima impak sedemikian rupa memandangkan hubungannya dan pelakon berkenaan sekadar teman mesra.
“Sebenarnya sudah setahun saya tidak bertemu dengan Baim dan kebetulan saya dan keluarga bercuti di sana dan kami bertemu. Bila berada di sana dia mengajak saya menghadiri majlis perkahwinan.
“Saya ingat itu majlis perkahwinan orang biasa. Tak sangka pula sebenarnya majlis perkahwinan Raffi dan Nagita. Sudahnya terkeluar pula cerita kami berpacaran,” cerita Elfira lagi.
Pun begitu dia tidak menganggap berita yang tersebar seolah-olah mengesahkan percintaan mereka sebagai sesuatu yang serius. Baginya dia dan Baim tiada ikatan istimewa tetapi tidak menolak seandainya mereka berjodohan pada masa hadapan.
Bagi gadis berusia 20 tahun ini, tiada yang harus disorokkan kepada peminat selagi tidak melibatkan isu maruah dan harga diri. Sama juga dengan kisahnya dan Baim yang menjadi bualan peminat.
“Susah sebenarnya nak cakap tentang hati dan perasaan. Yang boleh saya katakan sehingga sekarang saya masih lagi solo dan tidak terikat dengan mana-mana lelaki.
“Itu juga tidak bermakna saya menolak sesiapa juga. Jika ditakdirkan pada masa hadapan saya semakin rapat dan ada jodoh dengan Baim, saya terima dengan hati yang terbuka.
“Tapi waktu ini biarlah masa dan keadaan yang menentukan. Segala-galanya saya serahkan kepada Yang Maha Esa dan saya tidak akan terburu-buru ke arah perkahwinan,” tegas Elfira yang nyata begitu teruja dengan sesi fotografi di dalam air yang diaturkan Pancaindera bersama-sama jurugambar Ocean Elements, Hilmi.
Tidak kekok beraksi di dalam air, pastinya keterujaan Elfira berganda memandangkan itu merupakan kali pertama dia melakukan penggambaran seumpama itu.
Pancaindera memilih Elfira kerana pelakon itu seorang penyelam profesional. Meskipun perancangan awal untuk melakukan fotografi itu di Pulau Redang, Terengganu namun terpaksa dibatalkan kerana faktor cuaca.
- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/jodoh-melemaskan-1.19830#sthash.ucVr57PD.dpuf
0 comments:
Post a Comment