KUALA LUMPUR: Anak panda gergasi yang memasuki usia lapan hari, semakin aktif apabila kelihatan mula memanjat badan ibunya, Liang Liang.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana, berkata perkembangan positif itu menggembirakan pasukan veterinar kerana menandakan anak panda gergasi berkenaan berada dalam keadaan sihat.
"Walaupun tidak kerap memanjat badan Liang Liang, anak yang masih berwarna merah jambu itu tetap bergerak aktif. TIMBALAN Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana. - Foto BERNAMA
"Liang Liang juga membiarkan anaknya bermain-main di sekitar badannya dan kedua-duanya masih tidak mahu berpisah," katanya ketika ditemui di Zoo Negara hari ini.
Rosly berkata, sejak kelahiran anak panda itu, Liang Liang begitu sensitif dengan pergerakan anaknya dan akan mengeluarkan bunyi seakan-akan bimbang dengan sebarang 'perpisahan'.
"Sewaktu pasukan veterinar memisahkan Liang Liang dan anaknya untuk tujuan pemeriksaan kesihatan dan pembersihan sangkar kuarantin, kedua-duanya mengeluarkan bunyi. "Perpisahan itu berlaku dalam masa sangat singkat dan apabila selesai pemeriksaan kesihatan, Liang Liang akan mengambil anaknya menggunakan mulut dan kembali meletakkan bayinya di pangkuan dan memeluknya," kata Rosly.
Menurutnya, perkembangan positif anak panda gergasi itu turut berkait rapat dengan penambahan selera makan Liang Liang. "Setakat hari ini Liang Liang makan sebanyak tiga kilogram rebung muda berukuran bawah satu kaki bersama-sama lobak merah, air garam dan glukos. "Permintaan rebung muda juga tidak mendatangkan masalah kepada pihak zoo kerana bekalan rebung bersaiz itu mudah didapati dan kami gembira berjaya menambahkan selera makan Liang Liang," katanya.
Corak pemakanan konsisten menyebabkan Liang Liang tidak mengalami sebarang masalah membekalkan susu badan yang cukup kepada anaknya.
Malah pasukan veterinar kerap menjaga lebihan susu dihasilkan Liang Liang kerana khuatir lebihan susu berkenaan akan menyebabkan puting susu Liang Liang tersumbat. "Kami tidak mahu masalah ketulan susu itu menjadi punca perubahan sikap Liang Liang terhadap anaknya dan pemantauan kerap dibuat sejak dari awal kelahiran anak panda gergasi tersebut. "Pemantauan dilakukan secara bergilir-gilir oleh pasukan veterinar bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan terkawal dan selamat," katanya.
Panda gergasi betina Liang-Liang selamat melahirkan anaknya pada 1.45 tengah hari 18 Ogos lepas di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara (GPCC). Kelahiran anak panda itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membuat catatan mengenai berita gembira berkenaan di laman Twitternya.
Pasangan panda gergasi yang sebelum ini dikenali dengan nama Fu Wa dan Feng Yi tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing. Kedua-duanya akan berada di negara ini selama 10 tahun.
Pada 25 Jun lepas, Najib mengumumkan nama baharu pasangan panda berkenaan iaitu Xing Xing (kemakmuran) bagi panda gergasi jantan dan Liang Liang (cantik) bagi panda gergasi betina sempena pelancaran GPCC.
Anak panda yang belum diberi nama itu hanya boleh berada di negara ini selama dua tahun sebelum perlu dihantar pulang ke China, tempat asal pasangan Xing Xing dan Liang Liang. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment