Friday, 31 October 2014

Jusuf: Undang-undang tak kenal status



Jakarta: Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata, undang-undang tidak mengenal status seseorang dan setiap kesalahan wajar dikenakan hukuman.

Kata Jusuf, pekerjaan seseorang sebagai tukang cucuk sate tidak memberinya kelebihan jika terbukti dia menghina Presiden Jokowi.

“Sama ada pesalah itu tukang cucuk sate, penjual kereta atau ahli perniagaan, setiap kesalahan mesti dikenakan hukuman.

“Pelaksanaan hukuman tidak ada kaitan dengan kerjaya pesalah,” katanya.

Kenyataan Jusuf itu dibuat berkaitan penangkapan seorang pemuda, Muhamad Arsad, 24, kerana memuat naik gambar dan status lucah menghina Jokowi menggunakan akaun Arsyad Assegaf Julai lalu.

Muhamad Arsad kini ditahan di penjara sejak 23 Oktober lalu sementara menunggu tindakan selanjutnya.

Beberapa hari lalu peguam Muhamad Arsad berkata, pemuda terbabit terpengaruh dengan kehangatan persaingan Jokowi dan Prabowo Subianto yang bersaing merebut jawatan presiden.

Ibu Muhamad Arsad, Mursidah menawarkan diri menggantikan pemuda terbabit di penjara untuk membolehkan anaknya dibebaskan.

Jusuf berkata, walaupun ibu Muhamad Arsad menangis dan merayu minta anaknya dimaafkan, ia tidak boleh menghentikan proses siasatan.

“Permohonan maaf itu dibuat atas sifat peribadi dan proses hukuman tidak boleh ditamatkan kerananya.

“Jika tidak, seseorang mungkin mengulangi perbuatan jahatnya,” katanya.
- Agensi

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang