Temerloh: Sepasang suami isteri masing-masing didenda RM13,000 dan penjara dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku salah terhadap tuduhan memiliki 734 peket rokok seludup bernilai RM1,211.20, tahun lalu.
Majistret Najwa Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mokhtar Aziz, 49, dan Nor Haslinda Ismail, 46, serta memerintahkan mereka dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa memiliki rokok seludup pelbagai jenama di kedai runcit D Mass Mini Market, No 3 Gerai Felda Jenderak Selatan, di sini, jam 11 pagi, 18 Disember 2013.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 135(1) Akta kastam 1967 dan dihukum mengikut di bawah Seksyen 135(10(iii) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai rampasan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pasangan berkenaan yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan mereka sudah insaf dan tidak lagi menjual rokok seludup.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Kastam Diraja Malaysia Mohd Khairuddin Niesha Mohd Shafee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan memandangkan lambakan rokok seludup di pasaran tempatan memberi kesan kepada peningkatan golongan muda yang merokok.
Beliau berkata, ia juga merugikan negara daripada segi hasil kutipan cukai yang boleh digunakan untuk membangunkan negara.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota kastam yang membuat pemeriksaan di premis milik tertuduh pada hari kejadian, menjumpai rokok seludup pelbagai jenama yang dilarang import.
- See more at: http://www2.hmetro.com.my/articles/PengajaranRM13_000/Article#sthash.CQ7JZ2oQ.dpuf
0 comments:
Post a Comment