Saturday 8 August 2015

Saya tidak akan letak jawatan - Muhyiddin

PAGOH: "Saya tidak akan meletak jawatan (sebagai Timbalan Presiden UMNO) kerana tidak pernah melakukan kesalahan dalam parti."

Itu tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pihak yang mendesaknya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO.

"Saya tidak akan meletak jawatan, dan setahu saya dalam tempoh saya berjuang, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang dilihat sebagai menentang parti.

"Kalau ada, tunjukkan bukti. Takkan sudah hampir 40 tahun dalam parti tidak ada salah, tapi dalam empat ke lima hari ini dah banyak salah; siapa saya dahulu dan sekarang?

"Apa salah saya dahulu? Kalau dahulu saya boleh berbicara apa saja, tidak pernah orang datang jumpa saya cakap 'Tan Sri, jaga-jaga, jangan cakap itu ini'," kata Muhyiddin.

Beliau menegaskan tidak akan tunduk kepada desakan kerana sejak bersama UMNO lebih 41 tahun lalu, beliau tidak pernah melanggar perlembagaan parti dan tidak ada sebab munasabah untuk memaksanya berbuat demikian.

Ucapan beliau disambut tepukan gemuruh kira-kira 1,000 perwakilan semasa merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di sini hari ini.

Turut hadir, isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed; Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Senator Datuk Noriah Mahat, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Zaid Abdul Rahman; dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Rohaizah Ahmad.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunus yang sebelum ini membatalkan jemputan Muhyiddin merasmikan persidangan perwakilan bahagiannya selain mendesaknya meletak jawatan dan bersara daripada arena politik.

Muhyiddin, dalam pada itu, turut bersedih apabila dituduh pengkhianat dalam parti.

Menurutnya, ada pihak yang menyalahkan beliau atas apa yang berlaku serta bimbang sekiranya dijemput merasmikan persidangan.


Muhyiddin menegaskan beliau bukan seorang 'yes man' apabila berdepan dengan hal yang boleh menjejaskan nama baik UMNO dan Kerajaan kerana sikap berdiam diri walaupun tahu perkara tersebut salah hanya akan memburukkan keadaan.

Tambahnya, beliau akan tetap bercakap benar walaupun pahit serta tidak bimbang sekiranya hal tersebut tidak dapat diterima kerana sebagai pemimpin beliau sudah pun menjalankan amanah dan tanggungjawabnya.

0 comments:

Post a Comment

Edit by Danny Abdullah. Powered by Blogger.

Sila klik Nuffnang