AGU 'Terukir Di Bintang' menidakkan kekuatan 11 lagu lain tatkala berjaya mengunguli gelaran juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27), yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, malam tadi.
Menerusi kemenangan lagu ciptaan dan lirik oleh penyanyi Yuna itu, Aizat selaku penyanyi gantian mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000 berserta trofi.
.
Naib juara pula dimenangi lagu 'Idola' dendangan Azlan & The Typewriter. Lagu taruhan komposer Audry Mok dan lirik nukilan Azlan sendiri itu membawa pulang wang tunai RM15,000 serta trofi.Tempat ketiga, dimenangi lagu 'Ku Akui' nyanyian Hafiz dan ciptaan serta lirik oleh komposer berpengalaman, Ajai. Sekaligus memenangi wang tunai RM12,000 dan trofi.
Lagu tersebut juga membawa tuah kepada Hafiz apabila memenangi kategori Vokal Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM10,000 serta trofi. Ini merupakan kejayaan kali ketiga Hafiz menjuarai kategori tersebut untuk dua tahun berturut-turut.
Manakala bagi kategori Persembahan Terbaik, buat pertama kalinya penonton diberikan diberi kepercayaan menjadi juri bagi menentukan pemenang menerusi undian SMS. Penyanyi Black& RJ berjaya mencuri perhatian penonton dengan 'persembahan berpusing-pusing' mereka sekaligus memenangi kategori tersebut menerusi lagu 'Teman Pengganti' dan meraih wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi.
Turut dirai pemenang anugerah Juara Mobil Celcom, lagu 'Ombak Rindu' ciptaan Nor Zaidi Rahman.
Lagu lain yang turut memberikan saingan hebat ialah 'Pelangi Senja' (Stacy/ lagu nukilan pasangan suami isteri Taja & Tun Teja), 'Anak Kampung' (One Nation Emcees/Jimmy Palikat), 'Ombak Rindu' (Hafiz & Adira/Zaidi), 'Tanpamu (Amir Jahari), 'Lagu' (Bedroom Sanctuary/Bo Amir Iqram), 'Simetri' (Hazama & Amy Search/Audi Mok & Zel Firdhaus Haduan) 'Andaiku Bercinta Lagi' (Mojo/Edry Abdul Halim) dan 'Patah Seribu' (Shila Amzah).
Persembahan 12 finalis AJL27 diadili oleh juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu pemuzik Acis, Edry Hashim, Ramli Sarip, penyanyi Hetty Kos Endang, penulis lirik Habsah Hassan, penyanyi Yassin, komposer Aubrey Suwito, komposer Ed Samad, komposer Azmeer selaku ketua juri.
Seperti tahun sebelum ini, penjurian dilakukan berdasarkan markah sebanyak70 peratus yang diadili terlebih awal manakala 30 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.
Bertemakan 'Ekspresi Seni', AJL27 sekali lagi menggandingkan pasangan pengacara hebat, Faizal Ismail dan Cheryl Samad sebagai nadi penggerak acara berprestij ini.
Selain menyaksikan finalis yang bertanding, AJL27 turut digegarkan lagi dengan persembahan pembukaan oleh tiga penghibur yang pernah melakar sejarah tersendiri di pentas AJL sebelum ini iaitu Misha Omar menerusi lagu 'Bunga-bunga Cinta', Ziana Zain mendendangkan 'Fatalistik' dan Faizal Tahir bersama Royal FT Force menghangatkan suasana dengan 'Anti Graviti'.
Persembahan penutup pula mengajak penonton mengimbau zaman kegemilangan "Rock Kapak" yang cukup gah pada tahun 80-an menerusi segmen interlude. Seluruh arena terpukau dengan persembahan cukup bertenaga Rahmat Mega diiringi Rodi,gitaris dari Kumpulan Kristal membawakan lagu popularnya, 'Bayangan Gurauan'. Sementara Aris Ariwatan mengamatkan suasana dengan lagu keramatnya, 'Lamunan Terhenti' bersama AG Coco.
Gelombang muzik rock tempatan dihangatkan lagi dengan petikan gitar solo Edrie Hashim (Projek Pistol) menerusi lagiu 'Seribu Takkan Mungkin' yang didendangkan oleh Joey (BPR) disusuli kemunculan papa Rock, Ramli Sarip mengimbau kembali nostalgia lagu 'Kamelia' bersama gitaris terkemuka, Man Kidal.
0 comments:
Post a Comment