Melaka: Malang bagi seorang kanak-kanak lelaki empat tahun apabila kepalanya tersepit di antara besi katil dua tingkat di rumahnya di Lorong Solok Tambak, Balai Panjang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 2.55 petang itu, Muhammad Amirul Syahir Amir Hamzah bersama abangnya, Muhammad Amirul Syafiq, 6, sedang leka meniti besi katil sebelum badannya terjerlus.
Ibu mangsa, Rafidah Anuar, 33, berkata, dia yang berada di dapur menyedari insiden itu selepas mendengar Muhammad Amirul Syahir menjerit memanggilnya.
“Saya terdengar suara saya memanggil mama diiringi rengekan kesakitan menyebabkan saya segera ke bilik dan mendapati kepalanya tersepit di antara dua besi katil dalam keadaan berdiri.
“Saya cuba meregangkan besi itu, namun gagal sebelum menghubungi pihak bomba meminta bantuan,” katanya ketika ditemui.
Rafidah berkata, dia tidak menyangka mangsa bersama abangnya bermain di bilik kerana sebelum itu mereka menonton televisyen.
“Saya membuang tilam atas katil itu lima bulan lalu dan sejak itu, anak tidak pernah bermain kerana saya melarang mereka memanjat katil berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3 petang dan bergegas ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba kanak-kanak itu berada dalam keadaan panik dan menangis, namun berjaya diselamatkan kurang 10 minit selepas besi katil itu dipotong.
0 comments:
Post a Comment